Dakwah Lembut Atau Dakwah Keras?
================
1. Ramai yang bertanyakan tentang pendekatan yang terbaik dalam menangani isu LGBT ini. Ada yang mencadangkan supaya kita berlembut seperti Ustaz Ebit Lew dan Mufti Wilayah, manakala sebahagian pula mencadangkan supaya kita mengenakan pendekatan yang keras mempertahankan prinsip Islam dalam mendekati kumpulan aktivis ini.
2. Melihat pada Sirah Rasulullah ﷺ, Baginda menggunakan kedua-dua pendekatan ini. Adakalanya Baginda ﷺ berlembut, adakalanya Baginda berkeras.
3. Ketika di Mekah, Rasulullah ﷺ tidak memiliki kuasa dan fasa dakwah masih lagi berada diperingkat yang asas. Pendekatan Rasulullah ﷺ sangat lembut dalam tempoh ini. Sehinggakan Allah menegur Rasulullah ﷺ apabila Baginda bermasam muka kepada Abdullah ibn Ummi Makhtum. Begitu teliti dakwah diperingkat ini sehingga bermasam muka pun ditegur oleh Allah. Insiden ini direkodkan di dalam surah Abasa.
4. Ketika di Mekah, para sahabat Nabi ﷺ diseksa, Qurasyh meletakkan perut unta ketika Rasulullah ﷺ sedang solat malah berhasrat untuk membunuh Baginda. Semua ini dihadapi Rasulullah ﷺ dengan sabar, tabah dan tidak berkeras.
5. Tetapi lain halnya di Madinah. Apabila Rasulullah ﷺ telah memegang tampuk pemerintahan, Rasulullah ﷺ dilihat sangat menjaga prinsip dan pendirian Islam. Ketika seorang perempuan Muslimah diselak kainnya sehingga terdedah auratnya, seorang Muslim datang mempertahankan maruah perempuan Muslimah ini. Pemuda Muslim ini kemudian dibunuh oleh sekumpulan yahudi lalu Rasulullah ﷺ mengarahkan tentera Islam memerangi Yahudi Bani Qainuqa’ ini. Maka tercetuslah Perang Bani Qainuqa’.
5.1 Nah lihatlah! Demi mempertahankan maruah seorang Muslimah, peperangan telah tercetus! Hari ini Muslimah kita hendak mengenakan tudung di hotel pun masih menjadi isu. Pramugari disarankan berpakaian sopan dikatakan jumud. Lemah sangatkah kuasa Muslim?
6. Malah ketika pembukaan kota Mekah, Rasulullah ﷺ mengarahkan mereka yang mencerca dan menghina Islam ini dibunuh sekalipun mereka bersembunyi disebalik kelambu Kaabah. Tindakan keras ini sangat menggerunkan hati musuh untuk mempermainkan Islam. Lihat bagaimana Rasulullah ﷺ menggunakan prinsip yang keras bagi memastikan Islam tidak dipermainkan.
7. Melihatkan kepada pendekatan dakwah yang berbeza ini, kami merasakan bahawa setiap individu Muslim seharusnya berperanan sesuai dengan keadaan dirinya. Sekiranya beliau orang awam, barangkali pendekatan terbaik buat dirinya adalah dengan menyantuni dan menasihati kumpulan LGBT ini. Orang awam tidak mempunyai kuasa untuk menguatkuasakan undang-undang dan tidak boleh berkeras apatah lagi mendiskriminasi mereka.
8. Namun, sekiranya beliau adalah seorang yang mempunyai pengaruh, beliau seharusnya menggunakan pengaruh tersebut untuk mendaulatkan Islam. Dan sekiranya beliau adalah seorang yang berkuasa, beliau boleh menggunakan kuasanya untuk bertegas memartabatkan hukum seperti yang disarankan di dalam al-Quran dan hadith.
Semua kita harus berperanan, bukan Pak Menteri sahaja.
Moga Allah membimbing dan merahmati kita semua.
Dr. Ahmad Sanusi Azmi
https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=698560453814417&id=630358917301238