Netanyahu Kecam Waran Tangkap Oleh ICCPerdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu mengecam keputusan Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) mengeluarkan waran tangkap terhadapnya dan bekas Menteri Pertahanan, Yoav Gallant pada Khamis. Netanyahu menyifatkan keputusan itu sebagai "anti-Semitik".
Dalam satu kenyataan pejabat Netanyahu, "Israel menolak dengan jijik terhadap tindakan tidak masuk akal dan palsu yang dikenakan ICC terhadapnya." Kenyataan itu juga ada menambah bahawa Netanyahu tidak akan mengalah dengan tekanan dalam mempertahankan rakyat Israel.
Mahkamah yang berpusat di Hague itu menyatakan terdapat alasan munasabah untuk mempercayai bahawa Netanyahu dan Gallant bertanggungjawab terhadap jenayah kebuluran di Gaza dan penganiayaan rakyat Palestin sejak serangan pada 7 Oktober 2023.
Tiada komen segera daripada Gallant yang dipecat sebagai Menteri Pertahanan awal bulan ini. Namun, seteru utama Netanyahu bergabung dengan sekutunya dalam kerajaan dan mengecam mahkamah kerana mengeluarkan waran tangkap ke atas dua pemimpin itu. Mereka menunding jari kepada HAMAS, mendakwa kesalahan perang yang telah memusnahkan sebahagian besar Gaza dan mengorbankan puluhan ribu nyawa itu adalah tanggungjawab organisasi itu.
"Waran tangkap ICC adalah tanda keaiban, bukan untuk pemimpin Israel tetapi kepada ICC itu sendiri dan anggotanya." Mantan Perdana Menteri Israel, Naftali Bennett memuatnaik ciapan di platform X pada malam tadi.
Manakala ketua pembangkang utama Israel, Yair Lapid menyifatkan tindakan mahkamah itu sebagai "ganjaran kepada keganasan."
Benny Gantz yang pernah menyertai kabinet perang Netanyahu, mengecam ICC dan menganggap keputusan tersebut sebagai "kebutaan moral" dan "aib yang memalukan dalam sejarah dan tidak akan dilupakan".
Menteri Keselamatan Israel, Itamar Ben-Gvir, yang mengetuai sebuah parti ultra-nasionalis kecil dalam koalisi Netanyahu mengatakan Israel harus bertindak balas dengan mengilhakan Tebing Barat di mana rakyat Palestin ingin membina negara merdeka:
"Jawapan kepada waran tangkap - menerapkan kedaulatan ke atas semua wilayah Judea dan Samaria, menetap di semua wilayah negara dan memutuskan hubungan dengan pihak berkuasa (Palestin) pengganas."
Sumber: Reuters