SOLAT DHUHA AFDHAL DIBUAT DI MASJID.🌟
Seorang sahabat dari Putrajaya bertanya: "Benarkah solat dhuha lebih afdhal dikerjakan di masjid berbanding di rumah? Sebab baru-baru ni saya dengar ada ustaz cakap macam tu. Tapi bukankah semua solat sunat lebih afdhal dikerjakan di rumah?
Jawapan: Ya, sememangnya solat sunat lebih afdhal dikerjakan di rumah berdasarkan hadis:
عليكم بالصلاة في بيوتكم، فإن خير صلاة المرء في بيته إلا المكتوبة
"Hendaklah kamu mengerjakan solat di rumah-rumah kamu kerana sesungguhnya sebaik-baik solat seseorang ialah di rumahnya melainkan solat fardhu". (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Namun dalam mazhab kita, dikecualikan beberapa solat sunat atau beberapa keadaan daripada keafdhalan di atas, antaranya: solat sunat ihram, solat sunat tawaf, solat sunat istikharah, solat sunat sebelum bermusafir, solat sunat pulang dari musafir dan lain-lain (rujuk al-Taqrirat al-Sadidah, m/s 286).
Jadi, jelaslah bahawa solat dhuha termasuk dalam pengecualian di atas. Tapi apakah dalilnya? Dalilnya ialah sebuah hadis yang dikeluarkan oleh Imam Abu Daud dalam Sunan-nya yang berbunyi:
من خرج من بيته متطهرا إلى صلاة مكتوبة فأجره كأجر الحاج المحرم ومن خرج إلى تسبيح الضحى لا ينصبه إلا إياه فأجره كأجر المعتمر... الحديث.
"Sesiapa yang keluar dari rumahnya dalam keadaan bersuci, (menuju) ke (masjid untuk) solat fardhu, maka pahalanya seperti pahala orang yang berihram untuk menunaikan haji. Dan sesiapa yang keluar (menuju) ke (masjid untuk) menunaikan solat sunat dhuha tanpa ada sebab lain yang menyebabkannya keluar melainkan untuk solat dhuha, maka pahalanya seperti pahala orang yang menunaikan umrah...".
Namun demikian, status hadis di atas diperselisihkan oleh para ulama hadis. Puncanya ialah kerana dalam rantaian sanadnya terdapat seorang perawi yang bernama al-Qasim Abi 'Abdir Rahman. Ditambah pula hadis ini tidak diriwayatkan melainkan daripada jalan al-Qasim. Kalau nak diperincikan akan jadi panjang.
Apa pun, apa yang disebutkan oleh ustaz tersebut adalah benar di sisi mazhab Syafie dan itu sudah memadai bagi orang awam. Wallahua'lam.
Akhukum,
Abdul Rahman.
@medan_tarbiahilmiah