'Selamat berpantang Tok Ti'
nurulhisham@bh.com.myKUALA LUMPUR: Penyanyi terkenal, Datuk Seri Siti Nurhaliza, dibenarkan pulang ke rumah, hari ini, selepas lima hari berada di pusat perubatan kerana melahirkan cahaya mata sulung, Isnin lalu.
Menerusi video dikongsi pengurusnya, Rozi Abdul Razak, di laman sosial Instagram beliau, kira-kira dua jam lalu, penyanyi Comel Pipi Merah itu kelihatan meninggalkan pusat perubatan terbabit bersama suami dan bayi perempuan mereka yang ketika ini digelar Fatimah Az-Zahra.
Dalam rakaman itu juga, bintang kesayangan ramai ini sempat menitipkan ucapan terima kasih kepada seluruh kakitangan pusat terbabit, terutama doktor dan jururawat, yang memberikan layanan baik buatnya sepanjang berada di sana.
"Ya, hari ini Siti sudah dibenarkan pulang. Namun, doktor berpesan supaya beliau berehat dengan sebaiknya.
"Siti ada memberitahu saya, beliau agak sedih juga sebenarnya nak meninggalkan pusat rawatan berkenaan kerana sepanjang beberapa hari di situ, beliau dan bayinya dijaga dengan baik oleh mereka," kata Rozi ketika dihubungi BH Online sebentar tadi.
Perkongsian berkenaan sudah ditonton oleh lebih 145,000 orang dan rata-rata mengucapkan selamat pulang dan berpantang kepada penyanyi berusia 39 tahun itu.
Bahkan, sebahagiannya kagum dengan Siti yang kelihatan berseri, segar dan bertenaga selepas beberapa melahirkan anak pertama.
Rozi sebelum ini menyatakan, Siti akan berehat panjang dan berkemungkinan besar kembali aktif pada penghujung tahun.
"Kalau boleh, kami mahu membiarkan Siti berehat sehingga lepas musim Aidilfitri nanti kerana itulah juga masa sesuai untuk beliau kembali aktif. Bagaimanapun, kami tak nafikan beliau ada perniagaan yang mungkin memerlukannya kembali bekerja lebih awal, iaitu pada Ramadan dan hari raya.
"Begitupun, Siti cuma akan benar-benar aktif bermula pada hujung tahun, sehinggalah 2019. Banyak tawaran mengadakan persembahan yang diterima, selain merakam single baharu," katanya.
Mengenai video muzik rasmi Comel Pipi Merah yang bakal menampilkan permata hati Siti, Rozi berkata, jika tiada aral melintang ia bakal dilancarkan tidak lama lagi.
Isteri kepada tokoh korporat terkenal, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa, itu selamat melahirkan puteri comel seberat 3.55 kilogram secara pembedahan di sebuah pusat perubatan di ibu negara, jam 8.17 pagi, 19 Mac lalu.
#bhariancom 🔗
https://www.bharian.com.my/hiburan/selebriti/2018/03/402782/selamat-berpantang-tok-ti