☹️ *Manchester 25 Dis: Pengurus Manchester City, Pep Guardiola menegaskan prestasi buruk pasukannya yang hanya meraih satu kemenangan daripada lapan perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL), adalah masalah yang membabitkan seluruh pasukan dan bukan berpunca daripada seorang pemain, termasuk penyerang, Erling Haaland.*
*Prestasi semasa City yang ketika ini menduduki tangga ketujuh dan ketinggalan 12 mata di belakang pendahulu Liverpool, kebetulan sama dengan situasi dialami Haaland yang hanya menjaringkan dua gol selepas meledak 10 gol dalam lima perlawanan pertama musim ini.*
*"Ia mengenai kami, bukan hanya seorang pemain," kata Guardiola dalam sidang media menjelang perlawanan menentang Everton, esok.*
😪 *London 25 Dis: Pengurus Manchester United, Ruben Amorim berkata, walaupun menangani masalah kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) itu adalah sesuatu yang mengecewakan, beliau yakin dengan keupayaannya untuk menyelesaikannya.*
*United akan berkunjung ke Wolverhampton Wanderers pada Hari Boxing dengan harapan untuk bangkit semula selepas mengalami dua kekalahan berturut-turut.*
*Amorim mengambil alih tugas bulan lalu ketika pasukan itu berada di tangga ke-14. Dalam enam perlawanan liga di bawah kendaliannya, United mencatat dua kemenangan, tiga kekalahan, dan satu seri.*
🤭 *London 25 Dis: Pengurus Leicester City, Ruud van Nistelrooy kekal positif selepas dua kekalahan berturut-turut dialami anak buahnya baru-baru ini.*
*Bekas penyerang Manchester United itu memenangi perlawanan pertamanya sebagai pengurus Leicester menentang West Ham awal bulan ini, namun dua perlawanan terakhir Leicester berakhir dengan kekalahan 0-4 kepada Newcastle dan 0-3 di tangan Wolves.*
*Bercakap menjelang perlawanan Hari Boxing menentang pendahulu Liga Perdana Inggeris (EPL), Liverpool, Van Nistelrooy berkata: "Jika kita menilai setiap minggu dengan terlalu ghairah, itu bukan cara kerja seorang profesional.*
🐀 *London 25 Dis: Selain prestasi hambar di atas padang dan isu bumbung bocor, Manchester United kini berdepan satu lagi cabaran serangan tikus di Old Trafford, menurut laporan akhbar Daily Mail.*
*Masalah itu dilaporkan menyebabkan penurunan penarafan kebersihan makanan stadium kepada dua bintang daripada maksimum lima bintang.*
*Ketika ini, United sedang menimbangkan sama ada mahu menaik taraf Old Trafford atau membina stadium baharu sepenuhnya.*
*Jurucakap kelab itu menegaskan pihaknya mengamalkan sistem kawalan serangga perosak yang ketat di Old Trafford.*
😉 *London 25 Dis: Enzo Maresca percaya Manchester City akan kembali bersaing untuk merebut gelaran Liga Perdana Inggeris (EPL), sambil menegaskan Chelsea bukan pencabar sebenar untuk mahkota kejuaraan.*
*Chelsea yang akan menghadapi perlawanan derby barat London di tempat sendiri menentang Fulham, esok, berada di tangga kedua liga dan hanya ketinggalan empat mata di belakang pendahulu, Liverpool, walaupun sudah bermain lebih satu perlawanan berbanding pasukan Merseyside itu.*
*Sebaliknya, City, walaupun sudah memenangi empat gelaran EPL berturut-turut, kini mereka ketinggalan 12 mata berbanding Liverpool di puncak liga selepas mengalami sembilan kekalahan dalam 12 perlawanan di semua pertandingan.*
🤩 *Rio de Janeiro 25 Dis: Pemain tengah antarabangsa Brazil, Oscar, yang pernah beraksi untuk Chelsea, kembali ke Sao Paulo, kelab di mana dia memulakan kariernya, umum kelab itu.*
*"Selamat datang, Oscar, satu tambahan pemain yang bagus," tulis teks pada penghujung video yang dimuat naik di akaun media sosial kelab itu.*
*Oscar atau nama penuhnya Oscar dos Santos Emboaba Junior, 33, menjadi ejen bebas selepas menghabiskan lapan musim di China bersama Shanghai Port, di mana dia tiba pada 2017 sebaik meninggalkan Chelsea.*